
SEJARAH KAMPUNG SUNGAI SEKAMAT
Kampung Sungai Sekamat telah wujud hampir 120 tahun yang lalu. Kampung ini terletak kira-kira 2.3 kilometer arah utara dari bandar Kajang. Keadaan kawasan kampung ini pada waktu itu hanyalah hutan rimba yang tebal. Pada tahun 1876, kampung ini telah diterokai oleh pendatang dari tanah Minang (Sumatera). Kebanyakan mereka terdiri dari golongan pemdekar, bomoh perubatan tradisional dan orang-orang alim. mereka menerokai kawasan kampung ini dengan membuat rumah serta bersawah dan berladang. Bagi kawasan yang tinggi mereka menanam pokok getah manakala di kawasan rendah pula mereka bersawah.
​
Nama kampung "Sungai Sekamat" bermula dari cerita mulut orang tua-tua iaitu dikaitkan dengan nama seorang yang bernama "Kamat". Kamat ini membuat sumur di tepi sebatang sungai yang mengalir ke Sungai Langat. Penduduk kampung ini sering menyebut kawasan sekitar sumur dipanggil "Sumur Sikamat". Oleh yang demikian, sungai yang berhampiran dinamakan "Sungai Sekamat". Bersempena nama sungai tersebut, maka kampung ini dinamakan oleh penduduk di situ dengan nama "Kampung Sungai Sekamat".
​
Sekarang Kampung Sungai Sekamat terus maju sejajar dengan kemajuan negara di bawah naungan Kerajaan Negeri Selangor. Jawatankuasa Kemajuan (JKKK) sentiasa berusaha memajukan masyarakat serta memupuk rasa tanggungjawab bersama badan-badan perrtubuhan yang terdapat di kampung ini. Kerjasam yang diberikan oleh semua pihak menyebabkan masyarakat hidup amandan makmur. Penduduknya sekarang sudah sampai ke generasi yang keempat jika dikira dari penama asal geran tanah yang ada. Kebanyakkan penduduk bekerja di sektor aam, swasta dan ada juga berniaga. Ada di antara penduduk watan berkelulusan universiti serta golongan professional. Kampung ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti jalan, bekalan api, elektrik dan air. Selain itu juga terdapat sebuah masjid, balairaya, klinik bidan, sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama. Golongan belia lelaki pula aktif di bidang sukan dan mempunyai kelab sukan berdaftar. Semoga rahmat Allah di doakan agar Kampung Sungai Sekamat penduduknya di dalam perlindungan NYA.